Tuesday 22 February 2011

Bahagian 2(b): Meminang

Meminang Pinangan Orang Lain

Diharamkan seseorang meminang pinangan saudaranya kerana ia menyerang hak dan menyakiti hati si peminang yang pertama, memecahkan hubungan kekeluargaan dan menganggu ketenteraman.

Dari Uqbah bin Amir, Rasulullah s.a.w bersabda:

Orang mukmin satu dengan yang lainnya bersaudara, tidak boleh dia membeli barang yang sudah dibeli saudaranya dan memeinang pinangan saudaranya sebelum dia ditinggalkan”.
                                        (Riwayat Ahmad dan Muslim)

Tarmizi meriwayatkan dari Syafie tentang makna hadis ini. Bila perempuan yang dipinang redha dan suka, maka tidak seorang pun boleh memeinangnya lagi. Tetapi kalau belum tahu redha atau sukanya, maka tidaklah berdosa meminangnya. Jika lelaki kedua meminang sesudah lelaki pertama diterima kemudian menikah, hukumnya berdosa tetapi perkahwinannya sah. Ini kerana yang dilanggar ialah larangan meminang sedangkan meminang tidak termasuk salah satu syarat sah nikah kerana nikahnya tidak boleh difasakhkan sekalipun tindakan meminangnya dilanggar.



Melihat Orang Yang Dipinang

Seharusnya lelaki melihat dahulu perempuan yang hendak dipinangnya sehingga dapat diketahui kecantikannya menjadi faktor pendorong untuk menyuntingnya atau untuk melihat cacat celanya yang boleh menjadi penyebab kegagalannya hingga mengambil orang lain. Orang yang bijaksana tidak akan memasuki sesuatu sebelum dia tahu baik buruknya. Al-A’masy berkata: “Setiap perkahwinan yang sebelumnya tidak saling mengetahui biasanya berakhir dengan penyesalan”.

Dari Jabir bin Abdillah, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Jika seseorang dari kamu mahumeminang seseorang perempuan, kalau boleh melihatnya lebih dahulu apa yang menjadi tarikan untuk mengahwininya. Maka hendaklah dilakukannya.”

Dari Mughirah bin Syu’bah, dia pernah meminang seorang perempuan. Rasulullah berkata kepadanya: “Sudahkah kamu melihatnya?” jawabnya: “Belum!” sabda Rasulullah s.a.w: “Lihatlah dahulu, agar kelak kamu senang bersama dengannya”. Maksudnya lebih serasi dalam berumah tangga.



Tempat-tempat Yang Boleh Dilihat

Jumhur ulama berpendapat bahagian yang boleh dilihat ialah muka dan tapak tangan. Dengan melihat mukanya dapat diketahui cantik atau hodoh, melihat tapak tangannya dapat diketahui badannya subur atau tidak.

Sekiranya lelaki melihat pinangannya dan tidak ternyata tidak menarik, hendaklah dia diam dan jangan mengata sesuatu yang boleh menyakiykan hatinya. Mungkin perempuan yang tidak disukainya itu disukai oleh lelaki lain.



Perempuan Melihat Lelaki

Melihat pinangan juga tidak khusus buat lelaki sahaja tetapi perempuan juga dibenarkan untuk melihat lelaki yang meminangnya. Ini bertujuan untuk mengetahui hal yang boleh menyebabkan dia tertarik sebagaimana lelaki melihat faktor-faktor yang menyebabkannya tertarik.

Umar r.a bersabda: 

Janganlah engkau mengahwinkan puteri-puteri kamu dengan lelaki yang hodoh, dia menyukai mereka tetapi mereka tidak suka kepadanya”.



Larangan Menyendiri Dengan Tunang

Haram menyendiri dengan tuning kerana bukan muhrim dan belum dikahwini. Agama tidak membenarkan melakukan sesuatu terhadap pinangannya kecuali melihat sahaja sedangkan perbuatan lainnya diharamkan sama sekali. Menyendiri dengan tuning tidak akan selamat daripada terjatuh ke perbuatan yang dilarang agama. Tetapi jika ditemani salah seorang muhramnya, dibolehkan.

Dari Jabir, Rasulullah s.a.w bersabda:

barang siapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka janganlah sesekali menyendiri dengan seorang perempuan yang tidak disertai dengan muhramnya, kerana nanti orang ketiganya ialah syaitan.”



Menyendiri Dengan Perempuan

Ramai ibu bapa yang mengabaikan persoalan ini sehingga membiarkan anak perempuannya bergaul bebas dengan tunangnya atau menyendiri tanpa pengawasan dan pengawalan. Akibatnya, perempuanlah yang akan kehilangan harga dirinya, rasa malu dan kehormatannya sedangkan perkahwinan belum lagi dilangsungkan.

Berbaza dengan sikap golongan di atas ialah sikap ibu bapa yang kolot dan tidak membenarkan lelaki melihat anak perempuannya ketika meminang dan hanya mahu kata persetujuan. Kemudian mereka dikahwinkan tanpa kedua belah pihak saling melihat kecuali malam pertama sahaja sehingga kadang-kadang keduanya saling terkejut menyaksikan hal yang tidak diinginkannya, lalu terjadilah penceraian yang tidak terduga.

Sebahagiannya menganggap hanya cukup dengan melihat gambar sahaja, tanpa melihat sendiri keadaan diri perempuan itu. Tetapi cara yang paling baik seperti ajaran yang dibawa Islam yang menjaga hak lelaki dan perempuan ketika meminang, Cuma perlu menjauhkan diri dari menyendiri bersama agar dapat menjaga kehormatan dan kemuliaannya.



Akibat Membatalkan Pinangan

Pinangan merupakan langkah pendahuluan sebelum akad nikah. Kemudian diikuti dengan memberikan pembayaran mas kahwin semuanya atau sebahagiannya dan bermacam-macam hadiah bagi mengukuhkan hubungan yang masih baru.

Tetapi pernah terjadi pihak lelaki atau perempuan atau kedua-duanya membatalkan rancangan pernikahannya. Apakah itu dibenarkan? Apakah segala yang telah diberikan kepada perempuan itu harus dikembalikan?

Sebenarnya pinangan merupakan perjanjian hendaklah melaksanakan akad nikah, bukan sudah bernikah. Membatalkannya menjadi hak kedua pihak yang telah berjanji. Orang yang membatalkan janjinya, Islam tidak menjatuhkan hukuman sekalipun perbuatan ini dipandang cela dan dianggap salah satu sifat munafik, kecuali jika ada alasan tertentu.

Hantaran yang telah diberikan berhak diminta kembali sekiranya akad nikah tidak dapat diteruskan kerana hantaran yang diberikan sebagai ganti dari perbelanjaan perkahwinan. Selagi perkahwinan belum terlaksana, maka pihak perempuan belum berhak ke atas barang itu dan wajib mengembalikan kepada pemiliknya. Tetapi pemberian dan hadiah itu hukumnya sama dengan hibah. Secara hokum, hibah tidak boleh diminta kembali kerana ia merupakan derma sukarela dan tidak bersifat sebagai pengganti atas sesuatu.

Jika barang yang dihibahkan telah diterima oleh orang yang diberi, bereti sudah menjadi miliknya. Jika pemberi hibah memintanya kembali bereti merampas milik orang yang diberi hibah tanpa keredhaannya. Perbuatan ini menurut hukum mahupun akal ialah batal. Tetapi apabila dari penerima hibah, kemudian tidak dipenuhi maka hibahnya boleh diminta kembali kerana hibah yang diberikan tadi sebagai ganti dari sesuatu yang akan diterima. Bila perkahwinannya nyata dibatalkan, maka pihak peminang berhak meminta kembali barang yang telah dihibahkannya. Ini berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulullah yang bermaksud:

tidak halal seorang yang telah memberkan sesuatu atau menghibahkan sesuatu meminta kembali barangnya kecuali ayah terhadap anaknya”.

“Orang yang meminta kembali barang yang telah dihibahkannya ibarat orang yang menjilat ludahnya sendiri”.

“ Barang siapa memberi hibah, maka dia masih tetap lebih berhak terhadap barangnya selama belum mendapatkan gantinya”.

Monday 21 February 2011

Perkahwinan & Adab Pergaulan suami Isteri: Bahagian 2(a): Meminang

Perkahwinan & Adab Pergaulan suami Isteri: Bahagian 2(a): Meminang: "'Meminang ialah seoarang lelaki yang meminta seoarang perempuan untuk dijadikan sebagai teman hidup atau isterinya. meminang termasuk dal..."

Bahagian 2(a): Meminang




"Meminang ialah seoarang lelaki yang meminta seoarang perempuan untuk dijadikan sebagai teman hidup atau isterinya. meminang termasuk dalam usaha pendahuluan atau langkah pertama dalam rangka perkahwinan. Allah telah menggariskan agar pasangan yang mahu berkahwin, saling mengenali dahulu sehingga perlaksanaan pernikahannya benar-benar berdasarkan pandangan dan penilaian yang jelas."


Perempuan Yang Boleh Dipinang

Perempuan yang boleh dipinang adalah perempuan itu telah memenuhi dua syarat, iaitu:

  1. Pada waktu dipinang tidak ada halangan hukum yang  melarang dilangsungkan perkahwinan.
  2. Belum lagi dipinang oleh orang lain secara sah.
Jika terdapat halangan-halangan hukum seperti sesuatu hal yang haram dikahwini atau pihak perempuan telahpun dipinang orang lain, maka mereka tidak boleh dipinang.


Meminang Bekas Isteri Orang Lain Yang Masih Didalam Iddah

     Haram meminang bekas isteri orang yang masih iddah sama ada kerana kematian atau cerai hidup. Jika perempuan yang iddah kerana talak raj'i maka dia haram dipinang sebab masih ada ikatan dengan bekas suaminya dan suaminya masih berhak merujuknya.

     Jika perempuan iddah dari talak baik, maka haram dipinang secara terang-terangan kerana bekas suaminya masih berhak mengahwininya dengan akad nikah yang baru.

     Jika ada lelaki lain meminangnya ketika iddah itu bererti sudah melanggar hak bekas suaminya. Kalangan Ahli fikh berbeza pendapat mengenai boleh atau tidaknya meminang perempuan yang sedang iddah secara sindiran. Pendapat yang menyatakan boleh jika perempuan yang sedang iddah kerana kematian suaminya dipinang secara sindiran., kerana hubungan suami isteri terputus kerana kematiannya. sekalipun begitu, diharamkan meminang dia secara terang-terangan untuk menjaga agar maruah keperempuanannya tidak terganggu dan tercemar oleh jirannya secara menjaga perasaan anggota keluarga si mati.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan tidak salah kamu meminang perempuan-perempuan dengan sindiran atau kamu rahsiakan dalam hatimu sendiri. Allah mengetahui bahawa kamu akan selalu mengenang mereka tetapi janganlah kamu mengikat janji dengan mereka secara rahsia, kecuali untuk mengatakan perkataan yang baik dan janganlah kamu menginginkan ikatan tali perkahwinan dengan mereka sebelum habis iddahnya. Ketahuilah bahawa Allah mengetahui rahsia dalam hatimu kerana itu berhati-hatilah kamu kepada-Nya"

      Maksud perempuan-perempuan ialah perempuan yang sedang iddah kerana kematian suaminya sebab yang dibincangkan dalam ayat di atas ialah soal kematian. Maksud kata sindiran ialah seseorang mengucapkan kata-kata tersuratnya berlainan dengan yang tersirat. Termasuk juga sindiran ialah dengan memberikan hadiah kepada perempuan yang sedang iddah. Ada juga yang menyebutkan jasa-jasa baiknya sebagai cara meminang dengan sindiran. Ini pernah dilakukan oleh Abu Jaafar Muhammad bin Ali bin Husain.

Sunday 20 February 2011

Bahagian 1: Perkahwinan





1. Unjuran Perkahwinan

Dari Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah ada bersabda, maksudnya:


"Wahai para pemuda, barang siapa di antara kamu telah sanggup berkahwin, hendaklah berkahwin. Kerana berkahwin itu akan lebih menundukkan pandangan dan membentengi kemaluan. Dan barang siapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana berpuasa itu ibarat kebiri"

Perintah ini ditujukan kepada para pemuda kerana mereka dianggap sebagai orang yang memerlukan kaum perempuan.

         Terdapat juga pendapat lain dari para ulama yang menyatakan tentang erti kahwin dimana " barang siapa yang telah mampu bersetubuh lagi sanggup menanggungnya, maka hendaklah berkahwin. tetapi sesiapa yang belum boleh kerana tidak sanggup menanggungnya, maka hendaklah dia berpuasa agar dapat menahan nafsunya dan  menghilangkan rasa berahinya sepertimana orang kebiri".(kebiri bermaksud memotong kedua zakarnya atau maksud lain mandul). Puasa disini menerangkan bahawa puasa dianggap sebagai pengembiri kerana ia mengurangkan makan dan  minum yang dapat mengekang syahwat.

2. Memilih Isteri


"Dari Anas Berkata, Rasulullah pernah melarang umatnya dari membujang.'kahwinlah kamu dengan perempuan penyayang lagi subur agar aku boleh berbangga tentang kami di depan umat yang lain pada hari kiamat kelak."

         Membujang membawa maksud menjauhi kaum hawa dan tidak mahu berkahwin agar lebih dekat kepada Allah s.w.t. Perempuan yang subur membawa erti yang mempunyai ramai anak. Untuk kita mengetahui tahap kesuburan perempuan itu adalah dapat dilihat dari keluarganya. Penyayang pula bermaksud perempuan yang baik dan cinta kepada suaminya. Rasulullah amat berbangga dengan jumlah umatnya yang semakin ramai kerana jumlah yang ramai akan memberi pahala yang banyak kepadanya.

"Dari Abu Hurairah berkata; Perempuan dikahwini kerana empat perkara; hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Tetapi hendaklah kamu memilih perempuan yang beragama supaya selamat kedua tangannya".
                                                                 (Riwayat Bukhari dan Muslim)

      Hadis ini menceritakan mengenai kebiasaan lelaki dalam memilih teman hidup atau isteri. Malahan Rasulullah sendiri ada menyarankan agar lelaki memilih perempuan yang  beragama. Ada riwayat yang melarang lelaki mengahwini perempuan bukan kerana agamanya. Ibn Majah, Bazar dan Baihaqi meriwayatkan hadis dari Abdullah bin Amr:

"Janganlah kamu berkahwin dengan perempuan hanya kerana kecantikan, mungkin mereka akan merugikan. Dan janganlah kerana hartanya kerana boleh menjadikan derhaka.Tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang hamba perempuan yang hodoh tetapi mempunyai agama ialah lebih baik"

3. Hikmah Berkahwin

       Islam menganjurkan perkahwinan kerana ia mempunyai pengaruh yang baik bagi pelakunya sendiri, masayarakat dan seluruh umat manusia.

  • Naluri seks merupakan yang paling kuat yang memerlukan jalan keluar. Sekiranya jalan keluar tidak dapat memuaskannya, maka ramai manusia akan menghadapi masalah. Dengan berkahwin, badan akan segar, jiwa tenang, mata terpelihara dari yang haram dan perasaan tenang menikmati sesuatu yang halal.
         Dari Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda, maksudnya:
         "Sesungguhnya perempuan itu menghadap dan membelakangi dengan rupa syaitan. 
          Jika seseorang di antara kamu tertarik kepada seorang perempuan, hendaklah 
          dia didatangi isterinya agar nafsunya dapat disalurkan."

  •  Berkahwin adalah jalan yang terbaik bagi kebaikan anak-anak, memperbanyakkan keturunan dan memelihara nasab dengan baik sebagaimana yang dikehendaki Rasulullah s.a.w. Jumlah keturunan yang ramai merupakan suatu kemegahan sehingga ada beberapa bangsa yang ingin meramaikan jumlah mereka dengan memberi perangsang melalui pemberian upah.

  • Naluri keibuan dan kebapaan akan tumbuh dalam suasana hidup dengan anak-anak dan akan lahir rasa ramah, cinta dan sayang yang merupakan sifat baik yang menyempurnakan kemanusiaan seseorang.

  • Menyedari tanggungjawab beristeri dan menanggung anak-anak akan menimbulkan sikap rajin dan sungguh-sungguh. Dia akan bekerja kerana dorongan tanggungjawab itu.

  • Pembahagian tugas, yang satu menguruskan rumahtangga sedangkan yang lain bertugas mencari rezeki di luar sesuai dengan batas tanggungjawab suami isteri dalam menanggung tugas masing-masing.

  • Dengan perkahwinan dapat membuahkan hubungan kekeluargaan, meneguhkan rasa cinta antara keluarga dan memperkuatkan hubungan kemasyarakatan yang direstui oleh agama Islam.